Pelayar Web Brave Kini Menyokong Penggunaan Domain .crypto

Pelayar Web Brave Kini Menyokong Penggunaan Domain .crypto

Pelayar web memfokuskan privasi, Brave kini telah menambah sokongan untuk penggunaan nama domain memfokuskan rantaian-blok yang diuruskan oleh Unstoppable Domains, iaitu .crypto.

Berbeza dengan nama domain biasa, nama domain .crypto menggunakan rangkaian terpencar, dan ia disimpan dalam dompet kriptowang. Ia juga bukannya berbentuk langganan tahunan, tetapi pengguna boleh membelinya sekali, dan menyimpannya untuk selama-lama tanpa sebarang bayaran tambahan.

Nama domain .crypto dijual dalam bentuk seumpama NFT, dan ia merupakan aset digital seseorang. Pengguna juga boleh pautkan pelbagai alamat dompet kriptowang ke nama domain ini, dan memudahkan lagi anda mengingat alamat dompet kriptowang anda.

Dengan integrasi ini, pengguna pelayar web Brave boleh mengakses atau melayari alamat .crypto tanpa memerlukan sebarang pemalam tambahan. Integrasi ini juga memperlihatkan sokongan Brave terhadap dunia internet terpencar.

Sebelum ini, selain Brave, pelayar web Opera turut telah menambah sokongan untuk nama domain .crypto ini. Pada hari ini, terdapat sekitar 700,000 domain .crypto yang telah didaftarkan.

Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun pelayar web Brave hari ini pada desktop dan Android, serta menikmati ciri baharu ini.